Pernah GunaTuala wanita kitar semula?Jom Lihat!

Pernah GunaTuala wanita kitar semula?Jom Lihat!

Loading...
TUALA WANITA KITAR SEMULA

SEBELUM tuala wanita tercipta, sebahagian besar wanita menggunakan lipatan kain ketika haid sebagai satu-satunya alternatif. Kain tersebut kemudiannya dibasuh dan digunakan semula.

Bagaimanapun, pada hari ini mungkin tiada anak gadis mahupun wanita yang selesa atau mahu meneruskan tradisi tersebut.

Sebaliknya, tuala wanita pakai buang menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diurus.

Ketika ramai wanita memilih menggunakan tuala wanita pakai buang, Qhatijah Mohd. Said, 34, tidak kisah menjadi kelompok minoriti. Beliau bukan sahaja menggunakan cara lama setiap kali haid, malah menghasilkan sendiri tuala wanita yang diperbuat daripada kain sejak dua tahun lalu.

Anak kelahiran Taman Melawati, Kuala Lumpur yang lebih mesra dengan panggilan Qaty mula berjinak-jinak menjahit tuala wanita ketika hamil anak ketiga.

Meskipun tidak memiliki kemahiran asas menjahit, Qaty tekad belajar sendiri. "Mula-mula saya menjahit secara manual kerana tidak arif menggunakan mesin. Tidak lama selepas itu, barulah saya gunakan mesin jahit milik ibu yang sudah berusia 30 tahun.

"Apabila seronok buat tuala wanita, saya berikan kepada rakan-rakan dan menjualnya secara suka-suka sehinggalah kini ia menjadi satu perniagaan," katanya yang sebelum ini membeli tuala wanita kitar semula dari Amerika Syarikat secara talian.

Segala-galanya bermula lima tahun lalu ketika Qaty mahu mencari informasi mengenai kain lampin untuk anaknya. Secara kebetulan, dia menemui produk tuala wanita kitar semula yang belum dijual di negara ini.

Harga bagi setiap satu tuala wanita yang dibelinya secara talian mencecah antara RM40 hingga RM50. Bagaimanapun, apabila produk tersebut sudah berada dalam pasaran Malaysia, harganya mencecah antara RM60 hingga RM70 untuk satu tuala wanita.

Kalis Air
QHATIJAH menggunakan fabrik kapas dengan corak menarik dan warna ceria untuk membuat tuala wanita kitar semula.


Menyedari harganya yang agak mahal, Qaty bereksperimen menjahit tuala wanita itu sendiri. Tuala wanita kitar semulanya menggunakan fabrik batik dan kapas.

Selain fabrik batik dan kapas, Qaty menggunakan fabrik bamboo velour dan bamboo fleece yang mempunyai daya resapan dan menakung cecair air. Di AS, tuala wanita guna semula banyak menggunakan kain flanel.

Qaty lebih gemar menggunakan kain batik dan kapas kerana corak dan warnanya yang lembut kerana beliau percaya ia mampu meningkatkan keyakinan diri si pemakai meskipun ia tidak dapat di lihat oleh khalayak.

"Tuala wanita ini dilapisi lapisan kalis air yang mempunyai aliran udara yang baik, tidak panas dan tidak berkuap," jelas Qaty yang menamakan tuala wanita buatannya Bisky Bosky.

Diperbuat daripada fabrik yang bercorak dan warna yang ceria, Qaty punya alasan yang tersendiri.

"Wanita sukakan kecantikan. Jadi, kita berikan kelainan pada tuala wanita supaya mereka mempunyai pilihan untuk memakainya," jelas Qaty.

Menyentuh tentang penggunaan tuala wanita Bisky Bosky, ia sama seperti tuala wanita sedia ada, cuma ia perlu direndam dan dibasuh dengan sabun. Beliau juga berkongsi tip supaya pengguna tidak menggunakan bahan pelembut pakaian bagi memastikan tuala wanita kitar semula ini tahan lama.

"Ia juga tidak perlu diberus, memadai menyental dan menonyoh dengan tangan," katanya.

Menjawab persoalan kemungkinan tuala wanita yang dipakai ini boleh menerbitkan bau yang kurang menyenangkan, Qaty mempunyai jawapan. "Ia boleh disimpan di dalam beg yang dikhaskan," jelasnya.

Berbanding tuala wanita biasa, tuala wanita dan pelapik seluar dalam Bisky Bosky boleh bertahan sehingga lima tahun bergantung kepada cara penggunaannya.

Ia juga mempunyai butang bagi mengelakkan tuala wanita itu beralih posisi ketika dipakai.

Menurutnya, pada masa ini pasaran produknya belum meluas dan masih dalam proses mendidik orang ramai tentang kelebihannya.

"Tuala wanita ini juga bebas daripada bahan kimia yang lazimnya digunakan dalam penghasilan tuala wanita pakai buang di pasaran," kata wanita yang menitikberatkan soal kesihatan dan alam sekitar itu.

Idea bagus

Menyasarkan kepada golongan wanita muda, tuala wanita Bisky Bosky bukan sahaja boleh digunakan ketika haid sahaja, malah wanita dalam pantang dan mereka yang mengalami masalah kawalan kencing juga boleh memanfaatkannya.

Qaty tidak menafikan masih ada pihak yang ragu-ragu dengan tuala wanita kitar semula yang dihasilkannya.

"Ada yang setuju kerana menganggap ia idea yang bagus selain menjimatkan dan ada pula yang tidak boleh menerima konsep ini kerana malas membasuhnya.

"Bahkan, ada yang kurang yakin sejauh mana tuala wanita ini mampu menampung darah haid kerana bentuk fizikalnya yang nipis berbanding tuala wanita biasa," ujar ibu kepada tiga anak ini.

Namun, di sebalik pelbagai pandangan negatif yang diterima, beliau tidak menang tangan untuk menjahit permintaan tuala wanita kitar semula itu.

TUALA wanita ini kitar semula ini boleh dilipat dan disimpan dengan baik.

Menurut Qaty, 80 peratus tuala wanita itu dijual di pasar lambak The Curve, Petaling Jaya pada setiap hujung minggu.

Qaty mengambil masa selama 15 minit untuk menghasilkan sekeping tuala wanita. Dalam sehari dia mampu menjahit sekitar 50 keping tuala wanita.

Pengawal Kewangan di sebuah syarikat swasta itu melakukan kerja-kerja menjahit pada sebelah malam bermula dari pukul 12 tengah malam hingga pukul 5 pagi.

Dalam sebulan, Qaty mampu menjual sebanyak 1,000 keping tuala wanita kepada para pelanggannya yang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia lima tahun, remaja, wanita dewasa dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Mahal? Jangan khuatir, Qaty turut menawarkan bayaran secara ansuran bulanan bagi memudahkan pengguna.

Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, setakat ini produk Bisky Bosky belum menerima kritikan negatif.

Sementara itu, dianggarkan 60 peratus kaum wanita menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada tugas harian semasa haid kerana mereka khuatir kebocoran pada tuala wanita.

Kebocoran ini lazimnya berlaku di bahagian tepi tuala wanita pada waktu siang dan di bahagian belakang pada waktu malam.





Catat Ulasan

3 Ulasan

jerit kat sini