Siapakah Tamar Jalis manusia misteri yang menulis buku Bercakap dgn Jin?

Siapakah Tamar Jalis manusia misteri yang menulis buku Bercakap dgn Jin?

Loading...
tentu ramai yang baca novel Tamar Jalis ni...ada yang x berani nak baca, ader yang menganggapnya rekaan ader juga yang terpengaruh seperti watak watak dalam novel beliau....ikuti kupasan
 mengenai Tamir Jalis....

A. Jalil Miran yang dikatakan menulis siri Bercakap Dengan Jin, tidur di tepi kubur dan berjanji untuk berkahwin dengan wanita bermuka gajah.

FARIDAH pernah rasa ditindih makhluk halus semasa tidur di bilik hotel orang mati dibunuh.

NOVEL mistik, Bercakap Dengan Jin amat popular di negara ini pada tahun 1980-an. Namun, pengarangnya, Tamar Jalis, masih misteri.

Ada yang mengatakan penulis sebenar sudah berusia lebih 70 tahun dan tinggal di Bruas, Perak tetapi beliau enggan dikenali.

Seorang lagi yang dikaitkan dengan nama Tamar Jalis ialah A. Jalil Miran yang pernah menulis untuk majalah Variasari dan Variapop.

Jalil meninggal dunia pada Oktober tahun lalu kerana sakit jantung pada usia 57 tahun.

Beliau yang juga bekas wartawan tabloid Buletin Rakyat dan Buletin Utama, dikenali dengan cerita seram dan hantu selain sensasi hiburan yang dihasilkannya.

Hotel berhantu

Menurut isteri arwah, Faridah Lah Omar, 46, Jalil bukan sahaja gemar menulis kisah-kisah hantu, malah beliau mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan makhluk alam ghaib itu. Jalil turut memiliki sisi eksentriknya sendiri, kata Faridah.

Pernah arwah mengajak Faridah tidur di sebuah hotel lama di Kuala Lumpur.


“Kami jadi seronok dapat tidur di hotel dengan anak-anak. Sebaik sahaja tengah malam, dia keluar sekejap. Apabila balik, dia tanya apa yang saya rasa semasa tidur.

“Saya kata seram sejuk dan ada terdengar suara seperti orang menjerit.

“Rupa-rupanya bilik hotel itu merupakan tempat orang mati dibunuh. Terus saya tidak menerima ajakan arwah untuk tidur di hotel lagi selepas itu,” katanya ketawa.

Faridah yang berasal dari Jeniang, Kedah, berkahwin dengan Jalil selama 21 tahun dan dikurniakan dua orang anak.

Faridah menceritakan, beliau mengenali Jalil semasa membuka kedai makan bersebelahan dengan pejabat syarikat penerbit Variasari iaitu Variapop Group di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Pada mulanya saya tidak berminat untuk mengenalinya walaupun arwah selalu mengurat saya dengan datang makan berkali-kali dalam sehari di kedai makan saya. Dia juga selalu mengutus surat cinta.

“Ambil masa setahun juga sebelum saya dapat menerimanya. Itu pun disebabkan kelembutan dan sifat sopan santun arwah,” ujar Faridah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Beliau menyifatkan Jalil seorang yang pendiam dan tidak suka diganggu semasa bekerja sepanjang perkahwinan mereka sejak tahun 1987.

“Kadang-kadang seharian dia menghadap komputer sampai tak mandi. Malah jika bilik bersepah dengan buku kerana dia membuat rujukan, arwah melarang saya mengemasnya.

“Dia juga suka pulang lewat malam dan hanya akan balik selepas mendapat berita yang dikehendaki,” ujarnya.

Wanita bermuka gajah

Bicara Faridah lagi, Jalil mempunyai tabiat yang pelik iaitu gemar tidur di rumah tinggal yang dikatakan berhantu.

“Dia ingin rasai sendiri pengalaman terserempak dengan hantu.

“Malah jika ada individu mendakwa pernah berjumpa dengan hantu, arwah lantas pergi ke tempat yang dimaksudkan itu.

“Bila balik ke rumah, arwah akan berceritalah pada saya yang dia jumpa hantu panjang, pocong, puntianak dan sebagainya.

“Itu yang kadang-kadang membuatkan saya sukar tidur malam,” ujarnya yang pernah mengalami gangguan tidur semasa mengandungkan anak pertama.

Kata Faridah, ketika itu, beliau terasa seperti ada makhluk yang menindihnya semasa tidur.

“Selepas saya membaca ayat-ayat suci al-Quran, ia terus hilang,” kata beliau.


BUKTI Jalil pernah menuntut ilmu di Indonesia.

Bercerita mengenai arwah suaminya, Faridah memberitahu, Jalil pernah mendapat gambar seorang wanita yang mukanya mirip rupa gajah. Gambar wanita itu pula belum pernah disiarkan oleh akhbar lain semasa beliau bekerja di Variasari.

“Saya tidak ingat wanita itu dari negeri mana tetapi arwah ada berjanji akan mengahwininya jika dia dibenarkan menyiarkan gambar tersebut.

“Namun dia tidak jadi berkahwin kerana wanita itu meninggal dunia beberapa hari selepas itu.

“Banyak lagi aktiviti pelik arwah termasuk pergi berjumpa bomoh tarik duit dan sering ke Indonesia untuk menuntut ilmu dan mencari ilham.

“Kadang-kadang seminggu sekali dia akan ke sana. Dia juga memperoleh ijazah dalam bidang mistik di negara itu,” katanya.

Namun, adakah Jalil ialah Tamar Jalis yang sebenar tidak dapat Faridah menjawabnya.

“Ini kerana saya berkahwin dengannya selepas siri Bercakap Dengan Jin berakhir dan arwah sendiri tidak pernah mengakui dirinya Tamar Jalis kerana dia sememangnya seorang yang kuat berahsia,” ujarnya




Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. @weschairs
    akak mmg minat kisah Tamar Jalis ni..kat rumah ni mmg banyak koleksi buku2 dia

    BalasPadam
  2. Salam k.yati , saya pon peminat sbdj dan tj, tp lebih logiknya penulis berusia 70an dan tggal di beruas tu, sbb, masa cerita tj dan datuknya, sekitar thn 50an, tj dah remaja, mgkin dia dilahirkan thn 1930an,.wallahualam,, skdr pndpt saya,..

    BalasPadam
  3. @NoorS Alias
    mungkin betul juga,apapun ceritanya mmg best

    BalasPadam

jerit kat sini