Misteri Pintu Terbuka Sendiri Akhirnya Terjawab

Misteri Pintu Terbuka Sendiri Akhirnya Terjawab

Loading...
Connecticut – Misteri pintu garaj automatik yang sering terbuka dan tertutup dengan sendirinya di beberapa buah bandar di sini akhirnya terjawab. Ia berpunca akibat isyarat pemancar radio daripada pengkalan tentera udara yang terletak di kawasan berdekatan.

Isyarat radio berkenaan adalah sebahagian daripada sistem Enterprise Land Mobile Radio (ELMR) yang digunakan oleh pihak tentera untuk menjalinkan kerjasama dengan pekerja pertahanan awam.

Setakat ini, tiada kenyataan mengenai pembayaran pampasan kepada mangsa yang terjejas dimaklumkan oleh pihak tentera laut.

Antara penduduk yang terjejas ialah di bandar Groton, New London, Waterford, Montville dan Gales Ferry.

Penduduk tersebut sebelum ini dibayangi persoalan, kenapa pintu automatik mereka gagal berfungsi.

Biarpun selepas syarikat pemasangan pintu, Overhead Door Company of Norwich Inc menjalankan pemeriksaan, mereka gagal menemui sebarang masalah.

Malah, syarikat itu juga mendapati alat kawalan jauh bagi membuka pintu terbabit berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk, Sondra Tuchman dari Montville memaklumkan, selama ini dia menyangka alat kawalan jauhnya mengalami masalah hingga pintu garajnya terbuka dan tertutup dengan sendirinya.

“Saya telah memaklumkan kepada syarikat terbabit, namun mereka meminta saya membayar tambahan $300 untuk menukar sistem baru,” katanya.

Masalah sama pernah dialami oleh penduduk di Colorado Springs pada 2006.

Ketika itu alat kawalan jauh bagi membuka pintu garaj mereka berhenti berfungsi selepas tentera menjalankan ujian ketenteraan.

Pada 2005, masalah seperti itu turut melanda kawasan Maryland akibat ujian sistem yang sama.

Catat Ulasan

0 Ulasan