Gambar bogel didakwa Putera Harry Tersebar

Gambar bogel didakwa Putera Harry Tersebar

Loading...
Paparan muka depan portal TMZ yang menyiarkan gambar Putera Harry dalam keadaan bogel di sebuah hotel mewah.

LONDON – Istana Buckingham berdepan dengan satu lagi kontroversi ekoran dua keping gambar bogel Putera Harry disebarkan oleh sebuah laman web hiburan popular, TMZ di Amerika Syarikat.

Dua keping gambar itu, dengan salah satunya menunjukkan Harry hanya memakai rantai berloket cincin emas bersama seorang wanita di belakangnya. Satu lagi gambar menunjukkan Harry pula memeluk wanita itu dari belakang.

Gambar itu dipercayai dirakamkan di sebuah hotel di Las Vegas, minggu lalu dan dimuat naik semalam.



Kontroversi terbaru ini dijangka memberi imej buruk ke atas kerabat diraja Britain.

Dalam pada itu, menurut portal news.com.au, keluarga diraja itu sudah mengesahkan gambar Harry dalam keadaan berbogel itu adalah sahih tetapi mereka tidak mahu memberikan sebarang komen mengenainya buat masa ini.

Kontroversi ini muncul hampir dua minggu selepas Harry mewakili Ratu Elizabeth II pada majlis penutup Sukan Olimpik London.

Harry merupakan salah seorang daripada dua anak Putera Charles hasil perkahwinannya dengan mendiang Puteri Diana.

Putera William melangsungkan perkahwinan April 2011.

Menurut TMZ, kedua-dua gambar itu dirakam di sebuah bilik VIP di sebuah hotel dan kasino lima bintang, Wynn Resort yang terletak di Las Vegas.

Suite yang mempunyai tiga bilik tidur itu dianggarkan berharga 5,000 pound sterling (RM24,650) satu malam.

Harry dikatakan menginap di resort itu selepas menganjurkan satu majlis kebajikan untuk latihan tentera udara di San Diego.

Gambar yang dirakam dipercayai di bilik hotel itu selepas Harry dan rakan-rakannya berjumpa dengan sekumpulan wanita pada satu majlis di MGM Grand Hotel, Jumaat lalu. Kumpulan wanita itu kemudiannya dijemput untuk ke hotel penginapan Harry dan mereka dilaporkan mengambil bahagian dalam ‘strip billiards’.

Gambar itu kemudiannya tersebar di laman-laman web di Amerika Syarikat sehingga membuatkan nama Harry sebagai trending di Twitter, semalam.

Catat Ulasan

0 Ulasan