Majlis Tahlil Dikubur,Bukan Dirumah

Majlis Tahlil Dikubur,Bukan Dirumah

Loading...
Amalan unik Lipat Kajang
PENDUDUK Kampung Lipat Kajang, Temerloh, bertahlil beramai-ramai di tanah perkuburan pada hari kedua Aidilfitri, kelmarin.

TEMERLOH 22 Sept. - Bertahlil beramai-ramai di perkuburan pada hari kedua Aidilfitri menjadi amalan tradisi unik zaman berzaman penduduk Kampung Lipat Kajang, Temerloh, Pahang.

Amalan ini agak unik kerana di kampung-kampung lain, penduduknya menziarahi perkuburan secara bersendirian dan jarang mengadakan majlis tahlil beramai-ramai.

Menurut golongan tua di kampung pinggir Sungai Pahang ini, amalan tahunan itu bermula sejak beratus-ratus tahun lalu.

Pada pagi hari raya kedua, seluruh penduduk kampung akan berduyun-duyun menziarahi tanah perkuburan ibu bapa dan nenek-moyang mereka untuk bertahlil beramai-ramai.

Lazimnya anak-anak kampung yang merantau jauh akan memastikan mereka turut pulang untuk menghadiri majlis tahlil itu.

Kanak-kanak adalah yang paling gembira dan sangat menunggu-nunggu majlis tahlil itu kerana mereka mendapat wang hadiah. Apabila dewasa, majlis tahlil ini menjadi kenangan abadi yang meruntun perasaan untuk pulang ke kampung.

Hasil pendidikan yang membolehkan ramai anak-anak kampung ini berjaya dalam karier mereka, sejumlah wang dibawa pulang untuk 'disedekah' kepada kanak-kanak yang hadir di majlis tahlil itu. Kanak-kanak cukup gembira kerana mendapat wang poket berpuluh ringgit.

Dulu pada zaman sebelum 60-an, ketika kebanyakan penduduk kampung yang bertani belum berpendapatan stabil, beras hasil sawah padi mereka yang disedekahkan. Kini wang menggantikan beras setelah penduduk dan anak-anak mereka berpendapatan tetap.

Jika dulu penduduk dan keluarga mereka berjalan kaki dan berbasikal ke tanah perkuburan pada hari raya kedua, kini kereta-kereta termasuk Mercedes berderet panjang di tepi jalan di tanah perkuburan itu.

Itulah juga masa untuk bertemu kaum keluarga dan sahabat-handai yang terpisah lama, khususnya bagi anak-anak kampung yang merantau jauh kerana menghambat karier mereka.

''Saya cuba datang seberapa boleh setiap tahun bersama anak-anak yang lahir di bandar untuk menyemai perasaan kenal asal-usul dan akar umbi mereka,'' kata salah seorang anak Lipat Kajang yang kini menetap di Kuala Lumpur.


Catat Ulasan

0 Ulasan