Siapa Mukhriz Dimata Siti Hasmah

Siapa Mukhriz Dimata Siti Hasmah

Loading...
PERNAH  menentangnya di gelanggang badminton di usia saya awal dua puluhan dulu. Waktu itu bukan aksi hebatnya yang saya perhatikan. Tapi saya amat kagum dengan apa yang tersarung di tumbuh wanita ini.

Beliau Wanita Pertama Malaysia ketika itu. Namun ia tidak sedikit pun membuatkan beliau bermegah dengan gelaran itu.

Ketika itu, beliau sekadar berkemeja-T dan seluar sukan jenama biasa. Dan apa yang paling membuatkan saya terpegun adalah kasut yang disarung.

Seperti tidak percaya, isteri seorang perdana menteri hanya memakai kasut sukan berjenama Bata di kakinya.

Penuh keibuan, ‘low-profile’ , kesederhanaan penampilannya itulah membuatkan beliau diingati. Beliau juga disenangi, disanjung serta dihormati sehingga kini. membuatkan beliau diingati, disenangi, disanjung serta dihormati sehingga kini.

Walaupun berpendidikan tinggi dan bekas seorang doktor perubatan, namun semua itu tidak menjadikan dia seorang yang mahu menonjol-nonjolkan dirinya.

Hanya mengikut suami dan bergerak di belakang tabir. Hanya memberi komen kepada wartawan apabila diminta berbuat demikian. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, menjadi ‘ibu’ kepada rakyat Malaysia di zamannya.

Bersama Editor, Mazlinda Mohd Nor, Mohd Fazli Zainul Abidin dan jurugambar, Rosli Talib bertemu Tun baru-baru ini, ibu ini juga tidak menolak untuk bercerita tentang Marina, Melinda, Mokhzan, Mukhriz, Maizura dan Mazhar, anak-anaknya sendiri.

Untuk kali ini, ikuti apa kata Tun tentang Mukhriz?

Kontroversi Marina dan penglibatannya dalam NGO yang berhaluan kiri.  Apa pandangan Tun terhadap Marina dalam hal ini?

Marina memang sesekali dilihat seperti berhaluan kiri. Saya tidak nafikan perkara itu.

Tapi, Marina bukan anak kecil. Dia sudah cukup dewasa untuk menilai apa yang dia lakukan. Saya tidak pernah menghalang atau menentang aktiviti Marina. Dia diberi penuh kebebasan untuk menentukan pendirian dan pandangan sendiri.

Cuma jika sikapnya berlebihan, bapanya akan memberi nasihat. Itu pun sekadar nasihat yang memerlukan dia sendiri buat keputusan dan fikirkan kembali tindakannya itu.

Rakyat melabelkan Mukhriz sebagai ‘anak bapa’. Apa  yang mahu Tun lihat dalam legasi dan kejayaan politik Mukhriz sebelum Tun menutup mata?
Saya masih ingat, kali pertama Mukhriz melahirkan hasrat untuk terjun ke dunia politik, hati saya sungguh risau.

Saya kasihankan  dia. Saya kasihankan isteri dan anak-anaknya. Menceburi  politik bermakna isteri dan anak-anak Mukhriz perlu melalui apa yang pernah saya tempuh . Ia bukan satu perjalanan yang mudah.

Sekarang ini pun anak-anak Mukhriz hanya dapat bertemu beliau pada cuti hujung minggu. Anak-anak bersekolah di sini. Sedang sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz perlu berada di utara. Nak dipindahkan sekolah, di Kedah tiada sekolah antarabangsa.

Tapi  itulah antara pengorbanan yang perlu dilakukan.

Tapi itu kehendak Mukhriz. Saya tidak ada hak untuk melarang. Jadi sebenarnya saya seperti ‘rela dalam terpaksa’.

Sepanjang suami saya memegang tampuk pemerintahan negara, anak-anak hanya dibenarkan menjadi ahli dalam parti politik. Tetapi dilarang memegang apa-apa jawatan.

Dan kerana itu, semasa Tun Dr Mahathir masih menjadi Perdana Menteri, Mukhriz  tidak penah berbicara soal politik atau menunjukkan sebarang minat kepada kami berdua. Tetapi bila ‘larangan’ itu sudah tiada, barulah dia mula buka mulut tentang perkara ini. Jadi, sebelum itu, saya sendiri pun tidak nampak kecenderungannya dalam politik.

Saya tidak setuju dengan gelaran ‘anak bapak’ itu.  Kalau ‘anak bapak’ tentu dari awal suami saya sudah libatkan Mukhriz. Tentu sejak awal dia sudah dibimbing dan diberi tunjuk ajar  yang mungkin seperti anda katakan  ‘untuk meneruskan legasi Mahathir’. Tapi tiada. Sampai sekarang pun hanya sesekali, boleh dikira dengan jari,  Mukhriz tampil untuk meminta pandangan dan nasihat daripada bapanya.

Tahun 2009 waktu Mukhriz ditawarkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Antarabangsa, dia ada menelefon saya. Katanya, “Mummy depa lantik saya jadi timbalan menteri.”

Tapi daripada nada suaranya macam dia tak bersungguh-sungguh saja. Tak ada nada gembira atau sebaliknya.

Bila saya bagi tau suami, barulah suami bagi Mukhriz nasihat.

Dan dalam isu Kedah pula, setahu saya Mukhriz belum pernah meminta nasihat atau pandangan daripada bapanya.

Kalau orang kata ‘Mukhriz anak emak’ itu saya setuju.
Apa-apa hal Mukhriz selalu merujuk saya dahulu sebelum bapanya. Malah sebelum pilihan raya pun,Mukhriz bawa saya untuk berkempen. Bukan bapanya.

Kebetulan dulu semasa masih menjadi doktor, saya bertugas di Jerlun. Masyarakat veteran di sana sangat mengenali saya. Jadi,demi anak...saya tawarkan diri kepada Mukhriz untuk membantunya berkempen di sana.

Kalau Mukhriz ‘anak bapak’ lebih baik dia diteman bapanya sewaktu berkempen. Malah bapanya jauh lebih terkenal daripada saya sendiri....

Tapi selalunya Mukhriz sukar untuk mulakan ucapan jika saya ada bersamanya. Tak tahu kenapa, dia seperti ‘tergagap’ dan malu-malu.

Itulah Mukhriz....

Doa saya, moga Mukhriz dapat memimpin dengan baik. Paling penting mesti amanah menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat yang dipimpin.

Menjadi pemimpin, tanggungjawab terlalu besar. Jadi lakukan sebaik mungkin kerana ALLAH.

Walau sebelum ini saya seperti ‘terpaksa’ merelakan Mukhriz terjun ke dunia politik, namun saya tetap mendoakan agar dia berjaya dengan apa yang  diimpikannya.

Sudah kehendak Mukhriz untuk menyambung warisan kepimpinan bapanya, jadi sebagai ibu saya akan terus mendoakan dia melakukannya dengan jujur dan ikhlas.

Jika hasratnya mahu cemerlang seperti bapanya, lakukan sebaik mungkin!

Catat Ulasan

0 Ulasan