Khairy Disakat Langsuir di Kampung Lundang

Khairy Disakat Langsuir di Kampung Lundang

Loading...
KOTA BHARU, KELANTAN: DI ZAMAN moden ini, mungkin ada segelintir individu yang tinggal di bandar menafikan hakikat jelmaan makhluk halus, kononnya makhluk ghaib itu tidak akan wujud di tempat-tempat terbabit. 

Tetapi telahan itu agak meleset kerana makhluk halus boleh mendiami dan menghuni di mana-mana tempat menurut kemahuan mereka, bukan sahaja di bukit-bukau atau hutan rimba.


Sebaliknya di bandarlah tempat yang digemari makhluk berkenaan berikutan banyaknya aktiviti maksiat dan sebagainya yang menjadi kegemaran makhluk berkenaan. Hakikat yang berlaku di Kampung Lundang, Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan adalah contoh terdekat tentang jelmaan wanita berpakaian putih di beberapa simpang di laluan tersebut. 


                                                            Khairi Asraf bin Khaidir.

Sama ada ingin mempercayainya atau tidak terpulanglah kepada pendapat individu, namun kejadian mangsa diusik oleh makhluk berwajah hodoh itu yang dikenali sebagai 'langsuir' itu memang benar-benar berlaku. 

Salah seorang mangsa disakat makhluk yang menyeramkan itu, Khairi Asraf bin Khaidir, 16, dari Kampung Lundang dekat sini mendakwa, beliau memang nampak dengan agak jelas makhluk berwajah hodoh itu terbang dari arah sebatang pohon rimbun menyusuri motosikal yang ditunggangnya pada pukul 1.30 pagi itu. 

Katanya, sebelum ini beliau dan kedua ibu bapanya menyewa sebuah rumah di Bunut Payong. Semasa di sana, tidak pernah berlaku gangguan dan usikan dari mana-mana makhluk halus terhadapnya walaupun beliau sering keluar malam. 


Inilah simpang yang sering dilalui Kahiry setiap malam setiap jam 1.30 malam

Namun, semenjak beliau dan keluarga berpindah ke kampung berkenaan sejak Julai 2009, maka bermulalah episod gangguan itu. Apatah lagi, sejak 8 Oktober, 2009 dia mula bekerja di salah sebuah restoran makanan di Kubang Kerian, tentunya beliau pulang agak lewat pagi. 

 Tambahnya lagi, semenjak awal menyewa di tempat berkenaan, belum berlaku kejadian beliau diusik perempuan berpakaian putih walaupun kerap keluar malam ke rumah rakannya dari jam 10.00 hingga 11.00 malam. 

Tetapi sejak bekerja di tempat berkenaan dan sering pulang lewat pagi, sejak itulah beliau sering menjadi mangsa usikan makhluk ghaib itu yang seolah-olah sedang menunggunya sebagai mangsa. 


            Langsuir sering bertengek dan terbang mengekori arah motosikal yang ditunggangnya.

 "Memang saya agak sejak dari awal bekerja dan pulang lewat pagi, lembaga perempuan berpakaian putih itu sedang bertenggek di sebatang pohon rimbun di laluan yang sering saya lewati", jelas Khairi. Menurutnya, pengalaman pertamanya diusik lembaga tersebut ketika beliau sedang menunggang motosikalnya melalui simpang masuk bersebelah Restoran J.J. 

Lembaga perempuan berpakaian putih itu terbang agak pantas dari arah sebatang pohon rimbun menghala ke arah motosikal yang ditunggangnya pada pukul 1.30 pagi. Cara makhluk yang tidak dikenalinya itu terbang ke arah motosikal yang ditunggangnya dapat dilihat dengan jelas dari hujung rambut hingga hujung kaki di mana ketinggiannya kira-kira dua meter. 

Melihatkan suasana itu, pada mulanya beliau agak terkejut kerana sebelum ini beliau tidak pernah melalui pengalaman seumpama itu. Apabila beliau sampai di rumah dalam keadaan tubuhnya yang menggigil itu, mamanya meminta supaya terus ke dalam bilik. 


                      Simpang empat ini turut dihuni langsuir yang sering menanti mangsanya.


Namun, makhluk yang berpakaian putih itu tidak sekadar mengganggunya di sebatang jalan yang dilaluinya pada pagi itu kerana ketika beliau masuk ke bilik pada pagi yang sama, beliau turut diusik oleh makhluk yang sama apabila lembaga terbabit mundar-mandir dan terbang memperlihatkan dirinya melalui cermin jendela rumah yang dapat dilihat dengan jelas dari arah biliknya. 

Akibat disakat lembaga berpakaian putih itu berkali-kali, beliau mengalami demam selama tiga hari. Walaupun pernah demam selama tiga hari akibat disakat lembaga yang didakwa oleh orang-orang kampung bahawa makhluk tersebut adalah langsuir beliau mula memahaminya.

 Mendengar kata-kata langsuir, perasaannya mula goyah dan pada ketika itu juga tubuhnya mula diserang rasa takut dan gementar. Namun, disebabkan faktor kerja beliau meneruskan rutin biasa apabila terpaksa keluar awal malam dan pulang lewat jam 1.30 pagi. 

Bermula dari saat itu, beliau tidak lagi melalui simpang sebuah restoran makanan itu, sebaliknya melalui jalan lain bersebelahan dengan tanah perkuburan berhampiran rumahnya, di mana tatkala agak hampir dengan kubur tersebut beliau terpandang lembaga putih yang sama sedang bertenggek di bawah sinaran lampu jalan sambil memerhatikan ke arahnya. 



 Terang Khairi lagi, semasa bertembung dengan lembaga langsuir berhampiran tanah perkuburan itu, beliau cuba mengamati dari jarak beberapa meter sahaja untuk memastikan adakah lembaga yang dilihatnya itu tubuh manusia atau langsuir sebagaimana yang pernah dilihatnya sebelum ini. 

Memang agak jelas, lembaga yang memerhatikan ke arahnya di bawah sinaran lampu berhampiran perkuburan lama yang dimaksudkannya itu adalah langsuir yang sama dan selepas beberapa kali beliau melihat ke arah makhluk itu, tiba-tiba langsuir itu terus ghaib.

 "Pengalaman kali ini agak dahsyat dan menakutkan juga, seolah-olah lembaga langsuir itu mengekori saya dari belakang", katanya. Lembaga langsuir yang sering mengusiknya itu tidak sekadar mengacahnya di dua tempat itu sahaja. 

Ini kerana, pada 24 Oktober lalu, beliau turut diusik langsuir yang sama, kali ini di sebatang jalan berhampiran jambatan dan saliran air di mana dari arah tebing jalan itu adalah tanah perkuburan yang sama menuju ke rumahnya. 

Termasuk beliau, setakat ini sudah tiga orang yang kena ganggu apabila melalui kawasan tersebut. Di antara mangsa yang pernah kena sakat langsuir di kawasan yang sama ialah anak kawan mamanya sewaktu keluar malam untuk ke rumah rakannya jam 1.30 pagi. 

 Khairi menambah, anak kawan mamanya itu pernah melalui sebatang jalan lurus dari arah tanah perkuburan terus menuju jambatan dan saliran air untuk ke rumah rakannya pada waktu yang dimaksudkan. Dengan tidak disangka-sangka, anak kawan mamanya itu terasa motosikal yang ditunggangnya berasa berat dan bergerak perlahan. 

Namun, apabila tiba di jalan utama secara tiba-tiba motosikal yang ditunggangnya berasa ringan tidak sebagaimana tadi. Apabila ditanya, dari arah mana jelmaan lembaga berpakaian putih yang dikatakan langsuir itu muncul. Beliau menjelaskan, beliau agak ada individu dari wanita Indon yang memelihara makhluk tersebut berhampiran rumahnya, di mana individu terbabit memang mengenali mamanya. 

Di sebelah sisi rumah yang disewa wanita Indon itu ada sebatang pohon kuini dan rumah kosong di mana ada individu yang pernah melihatnya, lembaga yang dimaksudkan itu sering muncul dari arah pohon kuini itu. 

Jelasnya, apabila mengetahui kemunculan langsuir itu menyebabkan tubuhnya berkenaan lemah dan sering demam. Demam biasa agak berbeza, sebaliknya demam kerana diusik makhluk langsuir itu menyebabkan tubuhnya berasa panas, bertukar sejuk dan gementar yang agak teruk, terpaksalah beliau menyelimutkan diri untuk mengelakkan tubuhnya terus menggigil secara berpanjangan.

 Sewaktu beliau mengalami demam itu, beliau terbayang langsuir yang sama dan sering mengintainya yang berada dalam bilik rumahnya. Di samping itu, sewaktu beliau berada seorang diri di rumah pada waktu malam, setiap kali jam dinding rumahnya menunjukkan jam 3.00 pagi, telinganya dapat menangkap bunyi suara mengilai dengan jelas seolah-olah cuba menyakatnya. 

Selain itu, telinganya pernah beberapa kali dapat menangkap bunyi seperti ada makhluk tertentu sedang berjalan di atas bumbung rumahnya beberapa kali. 

Walaupun makhluk halus itu cuba mengusiknya, namun setakat ini makhluk berkenaan tidak pernah mengusik dalam rumahnya kecuali di luar sahaja. 

 "Sebelum kejadian ini, saya pernah mendapat mimpi yang menakutkan apabila sering diusik lembaga perempuan yang menyerupai pontianak, juga berpakaian putih dan berambut panjang sehingga paras paha", ujarnya walaupun beberapa kali diusik langsuir itu beliau tidak pernah serik untuk ke rumah rakannya pada waktu malam. 

 Walau bagaimanapun, setelah beliau berhenti kerja dari restoran itu beliau tidak lagi diusik oleh lembaga yang berpakaian serba putih yang dikatakan langsuir yang sering muncul dari arah sebatang pohon rimbun bermula dari simpang jalan yang sering dilaluinya.

 Justeru, kini episod beliau sering disakat langsuir itu telah berakhir, walaupun masih keluar malam jam 10.00 malam, cuma beliau perlu pulang awal sebelum 1.30 pagi untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Catat Ulasan

0 Ulasan