Pokok tempat berlindung Rasulullah kekal segar hingga ke hari ini.Benar Atau Tidak?

Pokok tempat berlindung Rasulullah kekal segar hingga ke hari ini.Benar Atau Tidak?

Loading...
Pokok tempat berlindung Rasulullah kekal segar hingga ke hari ini.Benar Atau Tidak?

Kuala Lumpur : Percaya atau tidak sebatang pokok yang dikaitkan pernah dijadikan tempat istirehat dan berlindung Rasulullah SAW kira-kira 1,400 tahun dahulu masih kekal hidup segar sehingga ke hari ini.

Demikianlah menurut pengkaji sejarah terhadap sebatang pokok yang rendang di tengah panas terik  padang pasir yang terletak di sebuah daerah di Jordan.

Ia berdasarkan kajian yang dalam catatan yang ditemui oleh ahli sejarah, Putera Ghazi Muhamad yang mengkaji rujukan kuno.

Pokok tersebut dikenali sebagai pokok "Sahabi" yang berada di wilayah padang pasir Utara Jordan.

Penemuan pokok Sahabi tersebut turut disaksikan oleh ulama terkenal Syeikh Ahmad Hassoun selaku Mufti Besar Syria serta Putera Ghazi sendiri.

Selepas diamati, pohon tersebut menepati ciri pohon tua yang dicatat Biarawan Bahira.



Kewujudan pohon ini sangat unik kerana di tengah padang pasir yang tandus dan panas itu, ia tetap hidup segar dalam keadaan suhu panasnya yang tinggi dan tidak sesuai untuk tanaman tumbuh.

Kisah saksi bisu kenabian Rasulullah SAW ini ditulis dalam tiga manuskrip kuno oleh Ibn Hisham, Ibn Sa'ad Al-Baghdadi dan Muhamad Ibn Jarir Al-Tabari yang menceritakan bahawa kisah Bahira iaitu seorang rahib yang bertemu dengan seorang kanak-kanak kecil.

Saat itu Rasulullah SAW berusia sekitar 12 tahun yang menyertai bapa saudaranya, Abu Thalib dalam perjalanan ke Basra untuk berdagang.

Ketika Bahira melihat Rasulullah SAW dengan kabilah Abu Thalib beliau memerhati bagaimana awan melindungi pergerakkan Rasulullah SAW dan dahan-dahan pohon tersebut turut tunduk melindungi Baginda.

Bahira segera menjemput Baginda untuk makan sebelum berpesan agar Abu Thalib memelihara Baginda dengan baik kerana percaya kanak-kanak lelaki yang dibawanya itu adalah utusan terakhir tuhan dan memerintahkan Baginda segera dibawa pulang ke Mekah kerana Yahudi sedang mencarinya untuk dibunuh.

Bagaimanapun, sebahagian ulama menolak kepercayaan itu dan hubung kaitnya dengan cerita Rasulullah SAW.

Lebih malang ada sebahagian umat islam yang menziarahi pokok tersebut di Jordan melakukan perkara bidaah dan khurafat kononnya mengambil berkat pokok tersebut.


Pokok Sahabi tiada kena mengena dengan kisah Rasulullah


KUALA LUMPUR: Orang ramai diseru tidak mudah mempercayai kisah pokok di Jordan yang dikaitkan dengan tempat perteduhan Rasulullah SAW memandangkan kesahihan masih diragui dan tiada bukti kukuh.

Jelas Pensyarah Hadis Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Rozaimi Ramle kajian yang dibuat pakar dari Jordan mendedahkan usia sebenar pokok itu tidak sampai 1,000 tahun. 

Beliau yang pernah menuntut di Universiti Mu'tah Jordan menegaskan ini bercanggah dengan dakwaan orang ramai yang menyebarkan cerita mengaitkan pokok itu dengan sejarah Rasulullah SAW.

Tambahnya lagi, yang menyedihkan  terdapat juga segelintir umat Islam yang pergi menziarah pokok berkenaan dengan melakukan perkara dilarang di sisi agama dan kononnya mengambil berkat dari tempat tersebut.

"Kisah yang dikatakan Rasulullah berteduh di bawah pokok itu tidak disepakati oleh ulama hadis. Sebahagian mereka menerimanya dan sebahagian mereka menolak kesahihan ceritanya. Antara yang menolaknya ialah al-Zahabi (wafat: 748hijrah) dalam kitabnya Tarikh al-Islam.

"Sebab beliau (al-Zahabi) menolak kesahihan kisah ini ialah kerana ia bercanggah dengan logik akal. Riwayat ini menyatakan bahawa Baginda dipayungi awan, jika begitu mengapa perlu berteduh di bawah pokok lagi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.


Rozaimi lebih cenderung untuk menyokong dakwaan bahawa pokok berkenaan tidak ada kena mengena dengan kisah Rasulullah SAW.

Kajian yang dilakukan oleh Pusat Geografi Diraja Jordan menunjukkan pokok ini hanya berusia 520 tahun sahaja.

"Jika pergi untuk melihat kebesaran Allah kerana menghidupkan pokok di kawasan kering kontang tidak mengapa. Tetapi jika pergi untuk melakukan amalan khusus dengan anggapan ia pokok teduhan Nabi atau ia adalah 'the living sahabat', ia adalah dakwaan yang tidak ada bukti konkrit," tambahnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan