Kenali Pawang Nong,Lelaki Yang Berjaya Penggal Kepala Orang Minyak

Kenali Pawang Nong,Lelaki Yang Berjaya Penggal Kepala Orang Minyak

Loading...
Rasanya, dah lama tak dengar pasal Orang Minyak ni. Kalau dulu, kita selalu dengar pasal Orang Minyak ni kalau belek dalam majalah-majalah misteri macam Mastika, Variasi, Intisari, Intifada, Intikaripap dan macam-macam lagi.

Tapi baru-baru ni, kecoh pasal Orang Minyak yang nampaknya mengganas di Kubang Kerian, Kelantan. Orang Minyak tersebut dipercayai cuba mencabul seorang gadis berusia 17 tahun yang pada masa tu tengah jemur baju, di siang hari!

Nasib baiklah jeritannya didengari jirannya yang kemudiannya datang dan terus menghubungi bapa serta adik lelakinya yang sedang bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran rumah.

Mangsa dikatakan masih lagi trauma. Imej dari nst
Bunyinya macam mustahil je. Zaman maju ni, masih ada ke perkara-perkara mistik macam ni? Bukan ke tu hanya cerita orang tua-tua untuk menakutkan orang supaya tak keluar malam? Tapi sebelum tu, apa dia Orang Minyak ni?
Orang Minyak, asalnya merupakan manusia yang salah tuntut ilmu batin
Bila sebut je Orang Minyak, rasanya kita semua tahu macam mana rupanya walaupun tak pernah terserempak (kecuali dalam filem atau gambaran dalam buku). Rupanya hitam legam, melekit, dan berbogel.
Tapi mungkin ramai yang dah sedia maklum yang Orang Minyak ni bukanlah mana-mana spesies hantu. Tapi, ia cumalah seorang manusia biasa yang menuntut ilmu batin, atau ilmu hitam dengan membuat perjanjian dengan syaitan! Semuanya untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Ni bukan orang minyak seperti yang dicanangkan, ni orang kat pelantar minyak. Imej dari aleqt.com
Sama dengan namanya, Orang Minyak ni juga bukanlah asalnya hitam legam berminyak. Tapi, tubuhnya tu dilumurkan dengan minyak hitam yang berkilat supaya senang nak bersembunyi pada waktu malam, dan senang nak lari tanpa ditangkap orang disebabkan badan yang licin macam belut. Tujuannya menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa bagi tujuan memperkosa gadis perawan, dan kadang-kadang mencuri.
“Walaupun kami membuat rondaan, berjaga, mengepung Orang Minyak ini namun dia bagaikan hilang tanpa kesan. Kami melakukan sembahyang hajat namun Orang Minyak ini tetap mengganggu.
“Ada penduduk melihat kelibatnya namun usaha menangkapnya tidak berjaya,” – penduduk kampung Pengkalan Demit, Kubang Kerian, dipetik dari Kosmo Online.

Ni pun bukan, ni Bhai tunggu orang nak isi minyak. Imej dari fortune.com
Orang Minyak ni bukanlah cakap-cakap mak cik bawang kat kampung je, tapi ada dalam buku-buku di Barat, contohnya dalam buku ‘A World of Curiosities: Surprising, Interesting, and Downright Unbelievable Facts from Every Nation on the Planet’ penulisan John Oldade. Pergh, panjang betul nama buku ni!
Dalam buku tu, dia ada terangkan pasal Orang Minyak ni sebagai pengamal ilmu hitam yang berbogel dan melumur minyak hitam ke seluruh tubuhnya, supaya tak mudah ditangkap – macam apa yang kita bagitahu tadi. Dalam buku tu juga, dia menerangkan yang Orang Minyak dikatakan dah lama wujud, dan targetnya bukan saja rumah-rumah yang mempunyai anak dara, tapi juga asrama perempuan.

Kes Orang Minyak yang dah lama menyerang Pahang. Imej dari krissmerah
Malah menurut Theresa Bane dalam bukunya, Encyclopedia of Demons in World Religions and Cultures, operasi Orang Minyak ni berjaya jika ia berjaya memperkosa 21 orang anak dara dalam masa 7 hari supaya syaitan akan mengkabulkan apa saja permintaan mereka.
Bukan tu je, Orang Minyak ni juga dikatakan ada kebolehan untuk memukau orang, sebab tu la ada sesetengah kes yang dilaporkan, mangsa akan jadi kaku dan tak boleh menjerit. Selain tu juga, Orang Minyak ni dikatakan tak boleh dilihat oleh perempuan yang dah tak perawan.

Tak boleh siarkan gambar penuh, bahaya.
Ada juga versi lain yang mengatakan Orang Minyak ni sebenarnya jadi hitam sebab tersalah menuntut, jadi dia cuma akan pulih lepas memperkosa 40 orang gadis. Lepas diperkosa, muka mangsa akan ditanda pangkah.
Punyalah popular kisah Orang Minyak ni dulu, ia pernah difilemkan dan diarahkan oleh P. Ramlee pada tahun 1958, dengan tajuk Sumpahan Orang Minyak. Ia diterbitkan oleh Malay Film Productions Ltd di Singapura.

Imej dari felix-entertainment.com
Tapi, Orang Minyak juga ada kelemahan tersendiri
Sehebat-hebat Orang Minyak pun, dia mesti ada kelemahan tersendiri. Antara benda-benda yang boleh melemahkannya adalah:
1 – Jantung pisang dan daun keladi bira – Kalau ada serangan Orang Minyak di sesebuah kampung tu, setiap penduduk kampung yang ada anak dara akan menabur kelopak jantung pisang dan daun keladi bira supaya takde gangguan.
2 – Cermin besar dalam rumah – Selain tu juga, cara untuk elakkan kehadiran Orang Minyak ialah dengan meletakkan sebuah cermin yang besar dalam bilik atau rumah, sebabnya orang minyak dikatakan takut dengan cermin. Tapi, make sure la korang tak terkejut dengan muka sendiri bangun pagi ye!
Terkejut mak, nak!
3 – Bau peluh badan – Disebabkan Orang Minyak hanya tertarik kepada perempuan, jadi anak dara dinasihatkan supaya memakai baju yang berpeluh supaya orang minyak tu ingat yang tidur tu adalah lelaki.
4 – Memakai pakaian secara terbalik – (untuk mengelakkan pukau oleh Orang Minyak), atau menutup badan dengan kain batik masa tidur. Kain batik juga dikatakan dapat melemahkan orang minyak kalau diselubungkan ke atasnya. Ada juga yang mengatakan lepas kelubungkan dengan kain batik, kena gigit ibu jarinya. Korang sanggup gigit?
5- Sandarkan penyapu pada pintu
Letak ’buluh kuning’ di dalam bilik – dipercayai dapat menakutkan Orang Minyak.
6 – Tidur secara berselerak (tidak teratur sekiranya tidur secara beramai-ramai di dalam satu bilik)
Kalau baby comel la. Kalau orang besar? Nauzubillah. Imej dari ketegaq.blogspot
Ni cuma petua orang tua-tua yang diamalkan oleh penduduk kampung zaman dulu. Tapi, Orang Minyak ni tak pernah ditangkap langsung ke?
Kes Orang Minyak ni dah beberapa kali berlaku dulu. Malah, ada yang berjaya ditangkap, contohnya macam kes pada 24 November 2006, seorang pencuri yang melumurkan dirinya dengan minyak telah ditahan di Kampung Tawas, Perak.

Keratan akhbar tentang Orang Minyak yang ditangkap beberapa tahun lepas. Imej dari bp.blogspot
Kes lain yang pernah berlaku adalah di Kuala Lumpur pada September 2011 di mana penduduk pangsapuri lima tingkat di Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak beramai-ramai menangkap lelaki warga asing yang berbogel, dan bersilat di hadapan rumah seorang penduduk sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu pada pukul 2 pagi.
Selain tu, ada juga kes pada November 2017 di mana suspek, seorang rakyat Indonesia memecah masuk ke dalam rumah mangsa tanpa memakai baju manakala tubuhnya pula dilumurkan dengan minyak.
Setakat ni, antara beberapa kes yang dilaporkan serta berjaya diselesaikan adalah kes Orang Minyak jadian – iaitu pencuri yang melumurkan minyak pada badan, tapi tak menuntut sebarang ilmu hitam.

‘Orang Minyak’ yang ditangkap di Dataran Pahlawan, Melaka pada tahun 2014. Imej dari China Press
Dulu, Malaysia juga ada Pawang Nong yang tangkap Orang Minyak
Kalau kat Amerika ada Ghostbuster, Malaysia pulak ada pawang, bomoh dan ustaz yang boleh menangkap hantu, malah kadang-kadang boleh mengubat pesakit yang terkena ilmu sihir.
Tapi selalunya tak ramai yang ada kebolehan untuk tangkap hantu atau makhluk yang macam ni. Salah seorang yang berjaya menangkap Orang Minyak ni pada satu masa dulu adalah Haji Nong Taib Bin Santan, atau dikenali sebagai Pawang Nong, seorang pawang dan guru silat yang tinggal di Hulu Cheka Jerantut, Pahang. Pawang Nong sangat terkenal di Pahang satu masa dulu, salah satunya sebab kejayaannya menangkap Orang Minyak yang pernah mengganas di Pahang.

Haji Nong Taib, atau Pawang Nong bersama pingat penganugerahan Pahang kepadanya. Imej dari muzium Pahang.
Menurut cerita daripada anak Pawang Nong, dah ramai bomoh dipanggil untuk menangkap Orang Minyak masa tu. Tapi, tak pernah berjaya sebab lembaga tu terlalu licik sebab menggunakan ilmu hitam dan memukau seisi rumah dengan menyelitkan daun sireh yang telah dijampi ke celah-celah dinding rumah mangsa.
Disebabkan tak tahan dengan gangguan Orang Minyak yang memperkosa anak dara dan juga isteri orang di kampung di sekitar Lipis dan Jerantut tu, orang kampung kemudiannya bersepakat meminta pertolongan dan bantuan dari Pawang Nong.
Walaupun dia sedia maklum dengan apa yang berlaku, tapi dia kena ikut pantang-larang, atau petua yang dipelajarinya iaitu tak boleh sesuka hati masuk campur kalau tak dijemput. Jadi bila orang kampung dah minta tolong, dia pun bersetuju.
Sebagai persiapan, Haji Nong Taib mengumpulkan beberapa pemuda kampung yang pandai berlawan dan membentuk satu pasukan. Malah, persiapan lain yang turut disediakan adalah kain kapan dan cangkul.

Imej dari fb
Tapi, penangkapan Orang Minyak tak semudah tu. Lembaga yang dikatakan ditemui di Lipis Barat pada mulanya berjaya memukau pasukan Pawang Nong. Kali kedua, pasukan mereka berpecah dan Orang Minyak tu menyerang kembali.
Ramai anak buah Pawang Nong tumbang, yang akhirnya membawa kepada pertarungan antara Haji Nong dan juga Orang Minyak tu. Perlawanan bermula antara ilmu batin jahat dan baik sampai akhirnya, Haji Nong berjaya menewaskan pengamal ilmu hitam tu.
Setelah disoal siasat, Orang Minyak tu menangis teresak esak dan mengaku telah memperkosa berbelas belas anak dara dan isteri orang demi keperluan ilmu yang dituntutnya. Haji Nong menyuruh Orang Minyak tu beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah.
Tapi, lembaga tu tak nak buat, dan cuma berdiam diri, mungkin sebab dah buat perjanjian dengan syaitan.
Pawang Nong kemudiannya pegang kepala lelaki itu dengan tangan kiri, manakala tangan kanannya menetak kepala Orang Minyak tu dengan kuat, sampai memisahkan kepala dan badannya.
Orang Minyak tu mati serta merta dengan darah memancut-mancut. Kain kapan dan cangkul dikeluarkan, dan mayat Orang Minyak tu dikebumikan di situ juga. Kampung tu kembali aman daripada serangan Orang Minyak.
Walaupun Pawang Nong tahu siapa pengamal ilmu hitam tu, tapi dia terpaksa rahsiakan identitinya sebab tak nak warisnya dapat malu sebab ahli keluarganya amalkan ilmu salah.
Sumbangannya kepada negeri telah melayakkan dia dapat gelaran Pawang Diraja Negeri Pahang. Dia bukan saja dikenali sebab berjaya menewaskan Orang Minyak semata-mata, tapi juga menewaskan pengganas, di mana dia pernah berjuang bersama Mat Kilau yang merupakan orang kampung sebelahnya.

Pawang Nong. Imej dari mstar
Dia merupakan salah seorang pahlawan Melayu yang menentang komunis dan Jepun di daerahnya dengan membantu askar Inggeris menawan pengganas di hutan Hulu Cheka bersama anaknya. Dia mendapat pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) daripada kerajaan persekutuan serta Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) daripada Pahang.
Kerajaan British mengiktiraf kehebatannya dengan mengurniakan Pingat Empayar British (B.E.M) oleh Jeneral Sir Gerald Templer sebagai mengenang jasa dan baktinya. Pawang Nong meninggal pada tahun 1977, dan menurunkan ilmunya kepada anak dan cucunya.

Haji Nong dianugerahkan pingat oleh British. Imej dari Facebook
Penganiayaan terhadap diri sendiri dan orang sekeliling
Setakat ni, Orang Minyak yang menyerang mangsanya di Kelantan masih belum berjaya ditangkap, atau dikenalpasti kesahihannya sama ada betul Orang Minyak, atau sekadar menyamar untuk menakut-nakuttkan orang kampung.
Penduduk di sekitar rumah mangsa juga mendakwa ketika berkawal, mereka ada terhidu bau tengik sampai terbatuk-batuk. Mangsa pula dikatakan masih berada dalam keadaan trauma dengan apa yang berlaku.
Tapi kalau betul Orang Minyak yang wujud tu adalah pengamal ilmu batin, ianya dah jatuh kepada hukum syirik, iaitu menyekutukan Allah untuk mencapai sesuatu yang dihajati tanpa memohon pertolongan dari-Nya. Perkara ni juga ditegur oleh Pengerusi Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya.
“Apabila manusia berkehendakkan sesuatu yang hajat dengan jalan mudah dan salah, mereka menggunakan jin dan iblis untuk mendapatkan apa-apa yang diingini.
“Berlaku perjanjian antara mereka iaitu manusia menggunakan jin dan iblis serta begitu juga sebaliknya apabila jin dan iblis itu pula akan menggunakan manusia untuk berbuat perkara di luar syariat mengikut perjanjian-perjanjian yang sudah dimeterai antara mereka. Berlaku imbalan dalam perjanjian itu,” – Zaki Ya, Pengerusi Darussyifa’ Kelantan dipetik dari Sinar Harian.
Sumber : Soscili.my

Catat Ulasan

0 Ulasan