'Pressure cooker' meletup, muka bakal pengantin melecur

'Pressure cooker' meletup, muka bakal pengantin melecur

Loading...
'Pressure cooker' meletup, muka bakal pengantin melecur

Kesan lecur pada wajah Siti Salmian selepas kejadian pressure cooker meletup pada 20 Mac lalu.-Gambar Facebook Siti Salmian

KUALA LUMPUR : Malang menimpa seorang bakal pengantin perempuan apabila muka dan badannya melecur gara-gara periuk tekanan atau pressure cookermeletup ketika memasak sup tulang.

Itu yang berlaku ke atas seorang pengguna Facebook yang juga seorang tukang jahit dan jurusolek sambilan, Siti Salmian, 24 tahun, beberapa minggu sebelum berlangsung majlis perkahwinannya.

"Haritu tekak ni teringin sangat nak makan sup tulang. Kebetulan pergi pasar ternampak la tulang-tulang tu jadi memang terus beli. Balik rumah macam biasalah kita masak nasi, siang apa yang patut untuk masak ni. Cakap pada mak, nak makan sup tulang... mak pun balas, 'nak kahwin kan, kenalah belajar masak sup tulang'.

"Kita pun rebus tulang-tulang daging lembu tu dalam pressure cooker macam biasa. Punyalah bodoh sangat ini, kita pun kunci periuk tu dan tiba-tiba tak tahu macam mana, mungkin perut ni lapar sangat pergilah dapur... tengok periuk tu usiklah pemegangnya, entah macam mana periuk tu meletup habis kena satu muka dan badan," tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun dia menjelaskan, insiden yang berlaku itu bukan salah pressure cooker, sebaliknya, sikapnya yang tidak arif mengenai cara penggunaan yang betul periuk berkenaan.

"Kebodohan diri sendiri sebab memang tak 'google' (kaji di internet) cara guna macam mana (guna pressure cooker) dan nasib pejam mata masa tu kalau tak pejam mugkin mata pun kena sekali," tambahnya.

Dia juga sempat berkongsi betapa sakitnya selepas terkena air sup tulang yang masih panas itu.

"Masa kena sup panas tu, hanya Allah saja tahu betapa panasnya muka, tangan dan badan. Lepas kena memang terus tadah muka ni dekat air yang mengalir. Itu pon sebab kakak kita ni jururawat. Dia yang suruh dekat air yang mengalir sebab tak nak ada gelembung gelembung," tulisnya lagi.

Menurut doktor, mukanya lima peratus melecur atau gred 1, manakala di bahagian dada mengalami tahap gred 2 atau 10 peratus melecur.

Dalam pada itu, Siti Salmian semasa dihubungi Astro AWANI berkata, majlis perkahwinannya dengan Mohd Nur Redzuan, 29 tahun, tetap diteruskan pada 21 April ini.

"Ayat tunang yang paling terkesan pada saya ialah 'semua ni akan baik kerana setiap penyakit ada ubatnya. Awak akan sembuh nanti. Jangan risau dan jangan sedih'," ujarnya.

Kepada netizen, Siti Salmian mahu apa yang berlaku ke atas dirinya dijadikan iktibar dan taulan iaitu kalau mahu guna pressure cooker, sila 'google' atau paling tidak tengok Youtube dahulu.

Catat Ulasan

0 Ulasan